Tuesday, March 31, 2009
KANDUNGAN USRAH
Apakah yang perlu dilakukan dalam pertemuan mingguan usrah yang menepati maksud, rukun dan peringatan di atas? Jawapannya mudah: Kita mempunyai banyak kewajipan sedangkan masa kita terlalu sedikit. Oleh itu pertemuan mingguan kita hendaklah dipenuhkan dengan perkara-perkara yang berikut:
1. Membentangkan Kesulitan
Setiap anggota membentangkan kesulitan masing-masing. Beri perhatian terhadap kesulitan yang diluahkan oleh dan rakan kita dan berusahalah mengatasinya. Lakukan hal ini dalam suasana ukhuwah sejati dan dengan niat kerana Allah. Dengan demikian dapatlah diperkuatkan lagi asas saling percaya-mempercayai dan tali hubungan ukhuwah dapat diperkukuhkan.

Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya, "Orang mukmin itu cermin bagi saudaranya."
Sabda Rasulullah s.a.w. lagi (maksudnya):
Perbandingan orang-orang mukmin dalam erti kata kasih sayang mereka, dan dalam erti kata timbang rasa simpati mereka adalah laksana badan yang satu, iaitu apabila mana-mana anggota mengadukan hal turut menangguhkan seluruh badan dengan berjaga malam dan merasai demam.

2. Bermuzakarah
Anggota usrah hendaklah bermuzakarah iaitu bertukar-tukar fikiran dalam urusan Islam. Teliti risalah yang diedarkan oleh pucuk pimpinan kepada seluruh cawangan usrah. Elakkan pertengkaran atau bertikam lidah kerana semuanya itu adalah dikira "haram" menurut undang-undang usrah. Muzakarah hendaklah merupakan penerangan dan penjelasan dengan tidak melanggar batas-batas sopan santun yang sempurna dan dengan cara harga-menghargai fikiran yang datang daripada semua pihak dalam muzakarah itu. Apabila hendak ditutup satu-satu perbincangan, atau hendak dibuat keputusan mengenai apa-apa cadangan, atau hendak diberi penjelasan lanjut mengenai cadangan yang hendak ditimbangkan itu, maka perkara itu hendaklah diserahkan kepada naqib supaya beliau sempat terlebih dahulu mengemukakannya kepada pucuk pimpinan.
Jangan dibuat keputusan dengan cara terburu-buru. Tuhan mencela umat-umat manusia yang bersikap terburu-buru dengan firman-Nya yang bermaksud :
Dan apabila datang kepada mereka sesuatu perkara tentang keamanan atau ketakutan maka mereka pun terus mencanangkannya.
Setelah Allah S.W.T. mencela mereka yang berperangai begitu maka Tuhan tunjukkan pula apa-apa yang semestinya dilakukan apabila tersua dengan suasana seperti itu dengan firman-Nya yang bermaksud:
Kalaulah mereka kembalikannya kepada Rasul dan kepada pihak berkuasa antara mereka sendiri nescaya orang-orang yang menimbangkannya itu mengetahui hakikatnya.
3. Kajian Buku
Adakan studi (penelitian) terhadap sesebuah kitab yang bermutu. Jelmakan studi itu dalam kehidupan harian walaupun hanya sekadar mengamalkan bermuka manis. Panduan daripada buku boleh disampaikan dalam taklimat sesuatu projek seperti menziarahi orang sakit; menolong orang-orang yang berhajat (walaupun hanya sekadar kata-kata yang baik), mencari dan bertanyakan hal tentang anggota yang tidak kelihatan bersama-sama kumpulan, menanggung bebanan anggota yang terputus rezeki. Semuanya itu dapat menambahkan lagi tali ukhuwah dan dapat melipatgandakan perasaan kasih sayang dalam hati masing-masing.

4. Aktiviti Sokongan
Untuk mengukuhkan ikatan persaudaraan sesama sendiri, kita hendaklah mengadakan rehlah, lawatan, aktiviti lasak seperti mendayung sampan, mendaki gunung dan berbasikal. Kita hendaklah juga mengadakan aktiviti khusus seperti berpuasa (seminggu sekali atau dua minggu sekali), solat Subuh berjemaah di masjid dan qiamullail.

0 comments:

Post a Comment

Jika Terdapat Sesuatu Yang Tidak Memuasakan HATI ANDA.Sila Tinggalkan KOMEN DISINI!!
Ingatlah BUKAN SEMUA MANUSIA ITU SEMPURNA!!